SEBAGAI mantan Pengarang Utusan Malaysia dan Penolong Ketua Pengarang Utusan, jawatan terakhir sebelum saya berhenti pada 2018; saya amat teruja dengan kemunculan baharu akhbar itu. Ada yang menyambutnya dengan gembira, ada yang duka dan lara serta ada juga yang bernada sinis. : ZAINI HASSAN
SEBAGAI mantan Pengarang Utusan Malaysia dan Penolong Ketua Pengarang Utusan, jawatan terakhir sebelum saya berhenti pada 2018; saya amat teruja dengan kemunculan baharu akhbar itu.
Ada yang menyambutnya dengan gembira, ada yang duka dan lara serta ada juga yang bernada sinis. Pendek kata pelbagai reaksi dilontarkan. Sebuah portal berita melaporkan dalam kemunculan baharu itu bekas kakitangan akhbar itu terus diabaikan
Sebagai wartawan profesional menjangkaui tiga dekad, saya menerima kelahiran baharu itu dengan hati terbuka.
Sedikit sebanyak ia akan menambah koleksi kewartawanan arus perdana Melayu yang semakin malap dan mendung. Dalam dunia digital yang semakin kompleks sekarang, kita berharap kewartawanan jitu Melayu tidak diambil alih oleh media sosial yang menjadi kegilaan masyarakat kita.
Orang Melayu sudah lupa untuk membaca akhbar-akhbar arus perdana. Mereka hanya membaca melalui kongsian dalam talian di WhatsApp dan rangkaian sosial media yang lain.
Akhbar cetak bukan lagi pilihan. Cuma tanya diri sendiri bila kali terakhir kita membeli akhbar kertas? Bila kali terakhir kita membeli akhbar cetak Berita Harian atau Sinar Harian; NST atau The Star?
Ironinya sejak kebelakangan ini ada pula rakan-rakan kita mengedarkan versi Pdf akhbar-akhbar itu dalam grup Whatsapp.
Seorang rakan saya, Datuk Seri Azman Ujang satu pagi menghantar mesej kepada saya setelah menerima akhbar-akhbar versi itu:
“Yg macam ni lah menyebabkan akhbar lagi tak laku…”
Semasa saya di Utusan Melayu (M) Berhad, sebelum syarikat itu digulungtikarkan pada 2019, kita telah meramalkan akhbar-akhbar terbitannya sukar untuk melonjak kembali disebabkan konflik dengan pengguna telefon pintar.
Pembaca lebih minat membaca melalui telefon mereka. Benarlah kata Guru Komunikasi, Marshall McLuhan (Understanding Media: The Extensions of Man 1964) bahawa medium yang mempengaruhi masyarakat berbanding mesej yang kita baca. Medium itu selepas 55 tahun kemudiannya ialah: telefon pintar itulah, yang sedang saya taip artikel ini.
Dengan jumlah penduduk lebih 32 juta, rakyat Malaysia memiliki telefon pintar tertinggi di dunia, malah 78.7 peratus daripada lebih 24 juta penduduk adalah pengguna Internet.
Jumlah itu menjadikan kita berada pada tempat ke-29 penggunaan Internet tertinggi di dunia; dan ke-10 pemilik telefon pintar terbesar di dunia.
Perdebatan mengenai “the survival” atau hidup mati akhbar-akhbar terus berlangsung. Saya masih ingat semasa dalam kuliah pengurusan media di UK pertengahan 90 dahulu; kami berdebat tentang apa akan terjadi kepada akhbar-akhbar dan media dengan kedatangan (the advent) Internet.
Ternyata inilah yang berlaku. Saya melihat dengan mata kepala saya di Utusan Melayu bagaimana graf jualan akhbar terus jatuh dan tidak naik-naik selepas era 90-an. Sudah tentulah banyak faktor yang mempengaruhi, termasuk kecelaruan fahaman politik; golongan tua yang sudah mati; dan kemunculan generasi x, y dan z serta gajet-gajet mereka.
Di Malaysia, nampaknya medium akhbar lebih cepat mati berbanding dengan negara maju; jika dilihat daripada statistik di atas.
Namun, di negara maju, penggunaan media sosial tidak segila negara ini. Di UK akhbar-akhbar cetak masih laku dijual; begitu juga pengalaman saya semasa berada di Jerman tidak lama dulu.
Walaupun ada kejatuhan-atas pengaruh media sosial, seorang kenalan saya di Frankfurt, Prof Gerhard Trosien berkata beliau masih melanggan akhbar kegemarannya.
Newsstands di luar kedai runcit masih menjual akhbar-akhbar cetakan dengan banyaknya.
Tapi ia berlainan dengan negara kita, sebuah negara sedang membangun yang pesat. Di Barat-Maju tidaklah sesesak-setenat-sekalut kita di negara ini. Masyarakat mereka lebih tenang berbanding kita. Akhbar cetak masih dalam tangan mereka, walaupun banyak juga akhbar yang sudah gulung-tikar.
Celaruan fikiran kita terlalu kronik — dalam semua aspek, dari gelagat wakil-wakil rakyat di Parlimen; sehinggalah masalah sosial yang teruk di kampung-kampung pedalaman.
Semasa saya menulis tulisan ini, sekitar jam 8 malam 20 Julai; saya masih belum membeli akhbar cetakan terbitan semula sulung Utusan Malaysia (maaf terlupa).
Dengan budaya baharu Covid-19 membeli secara talian sekarang, akhbar baharu ini sepatutnya merebut peluang menjualnya melalui langganan talian. Saya tidak pasti, mungkin ada, namun saya maaih belum nampak kempennya?
Apa pun saya ucapkan selamat maju jaya kepada akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang diterbitkan semula melalui ownership tauke yang baharu.
Ingatlah Utusan Melayu telah melalui beberapa tahap peralihan pemilikan bermula dari 1938 di Singapura; pada Februari 1958, lima bulan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, ibu pejabat Utusan Melayu di Singapura berpindah ke Kuala Lumpur.
Pada 1961, berlaku mogok besar kakitangan Utusan Melayu yang menentang pengambilalihan syarikat oleh parti politik, UMNO.
Pada tahun 1967, syarikat akhbar itu diperbadankan sebagai sebuah syarikat berhad dan disenaraikan di papan utama BSKL pada 1994.
Pada 2019 akibat masalah kewangan yang meruncing, syarikat itu akhirnya mati digulung secara sukarela oleh ahli lembaga pengarahnya — dengan kesemua aset-asetnya dilupuskan.
Permit akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad dibeli oleh usahawan Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dan diletakkan di bawah syarikat baharunya, Media Mulia Sdn. Bhd.
Namun begitu khabarnya permit Utusan Melayu, akhbar jawi telah dibeli oleh satu pihak lain dan dikatakan akan diterbitkan secara dalam talian.
Dan terbaharu sebuah portal berita kendalian seorang bekas wartawan Utusan, akan menerbitkan portal berita UtusanPress.
Maknanya pasaran kita akan memperlihatkan munculnya akhbar Utusan Malaysia; Utusan Melayu dan UtusanPress di dalam pasaran.
Saya enggan mengulas mengenainya selain berkata “selamat maju jaya Utusan”.
Namun mantan Ketua Pengarang Utusan, Tan Sri Johan Jaafar yang mengulas mengenainya, berkata: “saya konfius.”
Oleh DATUK ZAINI HASSAN
Bekas Penolong Ketua Pengarang
Kumpulan Utusan
Utusan Melayu (M) Berhad
Artikel ini juga disiarkan di https://bebasnews.my/?p=40585