Kolumnis 25 Aug, 2020

Masa depan politik Malaysia dalam tangan generasi milenial

@dr mohd fauzi shaffie
Dilahirkan di Kelantan. Graduan Fizik, Pentadbiran Perniagaan dan sedang belajar Jurisprudens. Minat Kepemimpinan, Politik, Sejarah dan Falsafah.

Share this
SAYA tidak rancang untuk jadualkan tulisan berkait politik pada hari-hari tertentu. Politik itu dinamik. Pantas berubah suhu dan jalar fikirnya. Maka saya akan ketuk papan kekunci bila hati terdetik, dan kepala melimpah dengan isu yang perlu saya kupas, semestinya dengan izin Allah SWT. : OLEH DR MOHD FAUZI SHAFFIE

Kredit foto: bharian.com.my


SAYA tidak rancang untuk jadualkan tulisan berkait politik pada hari-hari tertentu. Politik itu dinamik. Pantas berubah suhu dan jalar fikirnya. Maka saya akan ketuk papan kekunci bila hati terdetik, dan kepala melimpah dengan isu yang perlu saya kupas, semestinya dengan izin Allah SWT. 

Saya sempat jejak kaki di Trolak, antara kawasan terlibat dalam pilihan raya kecil DUN Slim, serta hadiri beberapa ceramah politik yang dianjurkan, termasuk pemerhatian dalam media sosial, kesannya jari-jari saya meronta untuk mengetuk papan kekunci, menyentuh fokus pemain politik terkini.

Apabila proses pendaftaran automatik pengundi baharu berumur 18 tahun mula terlaksana pada pertengahan 2021 sebagaimana jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi menjadi 22.5 juta pada tahun 2023, berbanding dengan PRU14 tahun 2018 seramai 14.9 juta.

Hampir seluruh 7.6 juta pengundi baharu tersebut, atau 33% daripada jumlah pengundi adalah berumur 40 tahun dan ke bawah, atau kini digelar sebagai ‘pengundi muda’ daripada kalangan generasi millennial.

Jika digabungkan dengan mereka yang sudah mendaftar sebelum ini, di mana sekitar 40% daripada 14.9 juta pengundi pada PRU14 adalah pengundi muda, maka dijangkakan pada tahun 2023, lebih daripada 60% pada waktu itu adalah mereka daripada kalangan pengundi muda, atau berumur 40 tahun dan ke bawah pada waktu itu. 

Generasi milenial (milenium) adalah mereka yang membesar atau dilahirkan sewaktu Internet sudah mula menguasai komunikasi dunia, dan pada zaman akhbar bercetak sudah kurang luas sebarannya, media elektronik terlalu terkongkong pengisiannya oleh kekangan ruang dan kos, maka masa generasi millennial bertumpu kepada media sosial.

Akibatnya, pemikiran, pendapat dan motivasi generasi milenial terbentuk oleh menu yang terhidang dalam media sosial.

Maka idea yang menjadi tunjang kepada mereka dalam membuat keputusan secara umumnya banyak terbentuk oleh idea dan sikap yang terbina melalui pengaruh media sosial. Selogiknya, siapa yang banyak kongsikan idea dan maklumat berkait mesej mereka dalam media sosial akan pengaruhi keputusan mereka.

Maka, mana-mana kumpulan politik yang tidak hampiri, pengaruhi dan mendapatkan sokongan generasi milenial, iaitu golongan yang dilahirkan sejak tahun 1980 hingga 2000 mulai daripada sekarang, bererti mereka sedang menyediakan tempat persemadian abadi.

Generasi milenial telah membina idea mereka yang tersendiri mengenai politik, bangsa, dan negara. Amat sedikit daripada mereka yang hadiri pertemuan politik, mendengar ceramah politik, mendengar ceramah tentang sejarah pembinaan negara, apa lagi untuk memahami erti perjuangan membina negara.

Masa beredar pantas, tidak menunggu mereka yang tidak bersama mengenderai perubahan tatacara menyebar dan membina pengaruh. Pengaruh boleh dibina melalui sentuhan emosi, tetapi ia tidak lebih seumpama membasah tekak pada hari panas dengan meminum ais, tidak akan kekal lama dalam minda dan hati penerima, mudah terganggu oleh maklumat baharu, walaupun ia hanya propaganda bohong.

Kredit foto: Nadinegara.com


Dari segi bilangan, generasi baby-boomers, iaitu mereka yang dilahirkan antara tahun 1946 dan 1964 sudah semakin kecil dan menuju kepupusan. Orang paling muda yang masih bergelar generasi baby boomers kini sudah berumur 56 tahun, dan mereka yang masih berpengaruh dalam kalangan ini adalah mereka yang masih memegang jawatan dalam kerajaan.

Ramai daripada golongan baby-boomers yang lain tidak lagi berkesan walau untuk mempengaruhi ahli keluarga sendiri. Anak-anak mereka yang dewasa sudah membuat pendirian tersendiri, mengikut apa yang mereka dipengaruhi media, terutama media sosial.

Jangan marah dan benci kepada media sosial, ia hanya alat komunikasi, terhasil daripada perkembangan teknologi bikinan manusia yang sentiasa dahagakan sesuatu yang baharu. Marah dan bencilah kepada diri sendiri yang gagal mengambil manfaat daripada kewujudan media sosial serta kekuatan yang hadir bersamanya.

Golongan liberal dalam negara ini kelihatan begitu tersusun dalam pendekatan mereka menyebar idea, meluaskan pengaruh, mengumpul sokongan dan membina dokongan. Kaki naik kepala turun.

Perjuangan mereka berasas kepada ideologi liberal, sebagai kilang melebur ego, mencanai kebersamaan dan kejituan hujah. Latihan mereka memberi motivasi kompak kepada pemuda pemudi berdarah manis dan ringan kepala.

Mereka mudah mengumpul dana, membina tautan antarabangsa, menambah yakin kepada generasi muda bahawa mereka tidak keseorangan.

Memang benar, ramai penyokong dan popular tidak mengesahkan kebenaran, tetapi Ali Karramallahu Wajhah sudah mengukir amaran, bahawa kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun.

Kalau memang tidak tersusun, mengakulah dan mulalah bina susunan. Untuk membina sesebuah bangunan, semua jurutera belajar bahawa bangunan tanpa asas kukuh mudah roboh.

Berdalih tidak akan mewujudkan kekuatan atau mengalahkan lawan, tetapi boleh tipu diri sendiri dan berasa selamat dalam kepompong yang semakin rapuh.

Golongan yang menyebar perjuangan mereka berasaskan Islam bukan tidak ada asas kekuatan, sama ada kewangan atau idealism, malah lebih daripada cukup. Apa yang kurang pada hari ini adalah kelapangan dada untuk memberi ruang kepada keikhlasan, mungkin kerana penyakit wahan sudah merebak luas dan dalam.

Yakinlah bahawa apa yang ada itu cukup. Dalam semua peperangan pada zaman Nabi SAW, kemampuan material tentera Islam jauh lebih rendah berbanding pihak lawan, termasuk bilangan tentera, kecuali peperangan Hunain. Maka mereka wajib yakin bahawa, jika tidak cukup, Allah akan cukupkan, itu janji-Nya, dan Dia tidak pernah mungkir janji.

Slogan mengajak ummah untuk berjuang bersama dan bersatu dalam tindakan, serta berpakat untuk memerintah, tidak dapat mengekang kemaraan generasi milenial yang menunggang masa.

5
0
0
0
0
You will be interested

Pengagihan kerusi untuk PRU15: PAS Terengganu jangan kerlong

Isu pengagihan kerusi terutama Parlimen di Terenganu sememangnya menarik minat pemerhati politik yang hangat diperkatakan dalam media sosial malah di kedai kopi

Mohammad Ishak in Kolumnis 4 years ago

PRK DUN 58 Slim: Sila beri perhatian kepada undi anak muda!

Apabila kita perhatikan golongan yang hadir dalam program Amir Khusyairi, kebanyakan mereka dalam kalangan orang muda, atau mereka berumur 40 tahun dan ke bawah
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 4 years ago

Erti ‘umran Ibn Khaldun: Kemakmuran terjemahan paling sesuai

Maka, adalah lebih baik dikekalkan istilah ‘umran, dan terjemahan paling hampir adalah ‘kemakmuran’ dalam bahasa Melayu, dan ‘prosperity’ dalam bahasa Inggeris
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 4 years ago

Menghulur kaki dan mencemar jemari ke ruang panas politik

Politik kita begitu terbelah hinggakan tidak ada yang boleh mengaku ‘duduk atas pagar’, mahu tidak mahu, mereka akan tercemar dengan warna politik yang berbelah
Dr Mohd Fauzi Shaffie in Kolumnis 4 years ago

Kukuhkan MN: Dua Ahmad perlulah turun padang jumpa akar umbi

Terdengar suara akar umbi yang mempersoalkan kerjasama politik UMNO-PAS di Terengganu dalam gagasan Muafakat Nasional yang tidak cerminkan pemuafakatan sebenar
Mohammad Ishak in Kolumnis 4 years ago