SEBAGAI memenuhi janji untuk menyambung tulisan saya mengenai sains ‘umran, pada kali ini saya ringkaskan perbincangan mengenai istilah-istilah yang digunakan dalam terjemahan tulisan karya agung Ibn Khaldun dalam kitab Al-Muqaddimah. Al-Muqaddimah telah membariskan beberapa istilah utama yang dicipta khas oleh Ibn Khaldun sewaktu membuat huraian mengenai persoalan pokok perkembangan hidup manusia secara individu, bermasyarakat, membentuk kerajaan serta membina pola pemikiran yang menyusun masyarakat dan negara. : OLEH DR MOHD FAUZI SHAFFIE
Kredit foto: Britannica.com
SEBAGAI memenuhi janji untuk menyambung tulisan saya mengenai sains ‘umran, pada kali ini saya ringkaskan perbincangan mengenai istilah-istilah yang digunakan dalam terjemahan tulisan karya agung Ibn Khaldun dalam kitab Al-Muqaddimah.
Al-Muqaddimah telah membariskan beberapa istilah utama yang dicipta khas oleh Ibn Khaldun sewaktu membuat huraian mengenai persoalan pokok perkembangan hidup manusia secara individu, bermasyarakat, membentuk kerajaan serta membina pola pemikiran yang menyusun masyarakat dan negara.
Sungguh banyak tulisan merata dunia dalam pelbagai bahasa yang mengaitkan Ibn Khaldun dengan tamadun, serta memberi sanjungan yang tinggi kepada beliau kerana menulis dan mengulas pembentukan masyarakat tamadun.
Istilah ‘tamadun’ (تمدن ) adalah istilah bahasa Arab. Sekiranya hasrat Ibn Khaldun menulis panjang lebar mengenai teori ‘tamadun’ sudah semestinya banyaklah istilah tersebut dihuraikan dalam kitab Al-Muqaddimah. Sebaliknya, apabila saya mencari dan menghitung istilah تمدن dalam kitab Al-Muqaddimah dalam tulisan Arab, amat tidak disangka bahawa tidak banyak istilah tersebut digunakan. Semestinya amat kurang berbanding istilah ‘umran. Saya dapat mengesan perkataan ‘عمران’ (‘umran) diulang sebanyak 149 kali, perkataan ‘عصبية’ (asabiyyah) pula diulang sebanyak 132 kali, dan perkataan ‘البداوة’ (al-badawah) sebanyak 46 kali. Saya faham bilangan tersebut tidak tepat kerana apabila disemak, ada antara istilah-istilah tersebut tidak dikesan oleh software yang digunakan. Namun, nisbahnya sudah cukup untuk perbandingan. Malah, Mahayuddin Hj Yahya mengatakan perkataan ‘عمران’ (‘umran) diulang sehingga 225 kali, dalam pelbagai bentuk.
Selain daripada istilah ‘umran disebut secara sendiri, iaitu tanpa disabitkan kepada perkataan-perkataan lain, ia juga digunakan oleh Ibn Khaldun dalam memberi sifat kepada istilah lain dan juga disifatkan oleh perkataan lain. Melalui pemahaman ke atas kaitan-kaitan ini, kita akan lebih mudah memahami maksud ‘umran sebagaimana dihasratkan oleh penulisnya.
Contoh penggunaan sedemikian adalah ‘طبيعة العمران’ (tabi’at ‘umran) yang diterjemahkan oleh Franz Rosenthal sebagai ‘the nature of civilization’, dan oleh Masturi Irham, Malik Supar dan Abidun Zuhri sebagai ‘tabiat peradaban’. Persoalan yang ingin dikemukakan oleh penulis adalah, adakah ‘umran bermaksud ‘civilisation’ atau ‘peradaban’?
Bagaimana pula dengan penggunaan dalam istilah ‘عمران الارض’, adakah wujud istilah ‘peradaban bumi’? Bagaimana pula apabila Ibn Khaldun menulis dengan istilah ‘العمران البشري’, yang diterjemahkan sebagai ‘human civilisation’, maka adakah wujud ‘non-human civilisation’? Sedangkan etimologi istilah ‘civilisation’ (tamadun) berkait dengan ‘city’ (kota) dan ‘citizen’ (warganegara).
Ibn Khaldun juga mengguna istilah ‘عمران البادية’, di mana saya fikir amat tidak sesuai untuk diterjemahkan kepada ‘Peradaban Primitif’, kerana ‘tamadun’ itu berlawan dengan ‘primitif’. Begitu juga susahnya untuk sesuaikan dengan beberapa frasa lain dalam kitab tersebut sekiranya diterima terjemahan ‘umran kepada ‘civilisation’ atau ‘peradaban’. Ditambah lagi apabila Ibn Khaldun menyebut ‘لإفراط العمران’, adakah maksudnya ‘disebabkan oleh peradaban yang berlebihan’, atau ‘due to excessive civilisation’? Wujudkah ‘peradaban yang berlebihan’?
Sedikit contoh ini memberi gambaran betapa para sarjana tidak sekata dalam membincangkan istilah ‘umran itu sendiri, apa lagi untuk memahami dan menghurai maskudnya. Persoalan-persoalan ini perlu dirungkai demi mencari maksud sebenar istilah ‘umran supaya penggunaannya sentiasa benar, tidak kekok dan tidak menyalahi hasrat asal penulisnya, Ibn Khaldun.
Penterjemahan istilah ‘umran dalam bahasa Arab kepada ‘Peradaban’ dalam bahasa Melayu juga menimbulkan persoalan. Perkataan ‘peradaban’ dalam Bahasa Melayu datang daripada perkataan ‘adab’, yang juga berasal daripada bahasa Arab, ادآب. Persoalannya adalah, kenapa mengguna istilah atau perkataan yang berbeza daripada bahasa yang sama jika perkataan asal sudah wujud? Malah, istilah ‘umran diperkenalkan dan diberi definisi jelas oleh penulis buku, kenapa harus diperkenalkan istilah baharu yang berasal daripada bahasa yang sama untuk memberi makna yang hendak disampaikan oleh penulisnya? Bukankah dua perkataan ini mempunyai etimologi yang berbeza? Perkara ini akan dibincang lebih lanjut selepas perbincangan mengenai etimologi perkataan ‘umran (عمران).
Kredit foto: Ganaislamika.com
Kata akar kepada perkataan ‘umran (عمران) adalah ‘عمر’ (‘a ma ra), yang membawa maksud berbeza mengikut bacaan. ‘amr dan ‘umr membawa maksud ‘panjang umur’, manakala dengan bacaan ‘amura, ia membawa maksud ‘melimpah ruah’, ‘kemakmuran’, ‘diduduki’, ‘civilised’, dan bacaan ‘amara pula membawa maksud ‘dipenuhi dengan kehidupan’, ‘memakmurkan’ (Hans Wehr; 1960: 643). Hans Wehr (1960) turut memberi terjemahan ke dalam bahasa Inggeris mengenai perkataan ‘umran dengan maksud ‘inhabitedness’, ‘bustling life’, ‘prosperity’, ‘civilisation’, ‘building’ dan ‘structure’. Ertinya dari segi perkataan, ‘umran mempunyai pelbagai maksud, walaupun hampir sama tetapi membawa maksud berbeza dalam konteks yang berbeza, dan ini bererti perlu dipadankan dengan penggunaan dalam konteks.
Kitab Al-Muqaddimah adalah tulisan yang mendasar, bermatlamat membawa pengertian baharu mengenai sesuatu keadaan, maka istilah tersebut seharusnya dipadankan dengan hasrat asal penulis dalam mengemukakan teorinya, dan bukan bergantung kepada kefahaman penterjemah atau pengulasnya. Saya berpendapat, sekiranya dihimpunkan semua konteks yang membabitkan istilah ‘umran, kita akan dapat mencari terjemahan yang paling hampir, walaupun mungkin tidak cukup tepat untuk menjelaskan makna ‘umran dalam konteks asal penulisnya.
Antara konteks tersebut adalah apabila istilah ‘umran dikaitkan dengan sesuatu keadaan, sesuatu tempat atau sesuatu kumpulan manusia. Istilah-istilah sudah pun diterangkan di atas tentang maksud dan terjemahannya, sungguh mengelirukan jika diterjemah kepada ‘peradaban’ atau ‘civilisation’. Maka saya memilih untuk menterjemah istilah ‘umran kepada ‘kemakmuran’ atau ‘prosperity’.
Istilah-istilah ‘طبيعة العمران’ menjadi ‘tabi’at kemakmuran’ atau ‘nature of prosperity’; ‘عمران العالم’ menjadi ‘kemakmuran sejagat’ atau ‘universal prosperity’; ‘عمران الارض’ bermaksud ‘kemakmuran bumi’; ‘عمران الامصار’ bermaksud ‘kemakmuran kota-kota’, ‘عمران الحواضر’ bermaksud ‘kemakmuran bandar’; ‘عمران البادية’ bermaksud ‘kemakmuran Badwi’; ‘عمران ممالكها’ bermaksud ‘kemakmuran negara atau empayar’; ‘‘لإفراط العمران’ bermaksud ‘kerana berlebihan dalam kemakmuran’; ‘عمران المدينة’ kemakmuran bandar’, dan ‘انتقض عمران الأرض بانتقاض البشر ‘hancurnya kemakmuran bumi kerana hancurnya kemanusiaan’.
Namun, perhatian penting perlu diambil dalam menterjemah perkataan ‘طبيعة’ kepada ‘nature’. Kefahaman Barat, khususnya dalam bahasa Inggeris, perkataan ‘nature’ tidak disabitkan kepada tuhan, malah ia bererti ‘terjadi dengan sendiri’ tanpa ada apa-apa kuasa yang menyusun atau menentukannya.
Perkataan ‘tabi’at’ dalam bahasa Arab tidak semestinya membawa maksud ‘tidak bersabit dengan tuhan’, malah Ibn Khaldun adalah seorang Muslim yang ta’at dan mendasarkan hujah beliau kepada Al-qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.
Dalam kefahaman Barat pula, istilah ‘nature’ sering digunakan bagi menggambarkan sesuatu yang mengikut ‘nature’ adalah tidak berkait dengan apa-apa hukum atau peraturan ketuhanan.
Dalam membicarakan tajuk daripada kitab-il-awwal, berbunyi ‘طبيعة العمران’ (tabi’at kejadian dalam penciptaan), Mahayuddin Hj Yahya mencadangkan supaya perkataan ‘tabi’at’ dalam konteks ini seharusnya diterjemahkan kepada ‘hukum dan peraturan’ dan bukan kepada ‘semula jadi’ atau terjadi dengan sendiri tanpa qada’ dan qadr Pencipta. Perkataan ‘الخليقة’ bermaksud ‘penciptaan’ yang menggambarkan adanya ‘Pencipta’, dan tidak ‘terjadi dengan sendiri’.
Dengan hujah-hujah ini, saya berpendapat, adalah lebih baik dikekalkan istilah ‘umran, dan terjemahan paling hampir adalah ‘kemakmuran’ dalam bahasa Melayu, dan ‘prosperity’ dalam bahasa Inggeris.
Bersambung ....