APABILA saya diberitahu bahawa saya diberi ruang untuk menulis, saya berkira-kira dan berfikir, apakah aspek yang paling sesuai untuk saya kongsi bersama dengan pembaca dalam ruangan bernilai ini. Setelah dua minggu berlalu, saya putuskan, apa yang akan saya kongsi dalam ruangan ini haruslah sesuatu yang boleh diguna bagi jangka masa yang panjang, tidak hanya untuk generasi pembaca hari ini. : OLEH DR MOHD FAUZI SHAFFIE
Kredit foto: Wikipedia
Bismillahi ar-Rahman ar-Rahiim. Assalaamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
Saya mulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, tanda syukur dan rasa terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya oleh Editor Utusan.Press untuk menulis dan menyampaikan pendapat di ruang ini.
Apabila saya diberitahu bahawa saya diberi ruang untuk menulis, saya berkira-kira dan berfikir, apakah aspek yang paling sesuai untuk saya kongsi bersama dengan pembaca dalam ruangan bernilai ini.
Setelah dua minggu berlalu, saya putuskan, apa yang akan saya kongsi dalam ruangan ini haruslah sesuatu yang boleh diguna bagi jangka masa yang panjang, tidak hanya untuk generasi pembaca hari ini, maka saya pilih untuk menulis tajuk di atas.
Nama Ibn Khaldun telah berdekad-dekad sampai ke telinga saya, dan entah berapa banyak kali saya membaca tulisan mengenai beliau, kehebatan beliau dan sumbangan yang beliau persembahkan kepada kemanusiaan, namun hanya baru akhir-akhir ini saya membaca bukunya dengan teliti, dalam bahasa Arab, dengan bantuan terjemahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Untuk terjemahan dalam bahasa Melayu, saya dapatkan terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia (1993), dan terjemahan Indonesia terbitan Pustaka Al-Kautsar (2011), dan dalam bahasa Inggeris diterjemahkan oleh F. Rosenthal (2015).
Sungguh banyak tulisan di merata dunia dalam pelbagai bahasa yang mengaitkan Ibn Khaldun dengan tamadun, serta memberi sanjungan yang tinggi kepada beliau kerana menulis dan mengulas pembentukan masyarakat tamadun.
Lebih daripada sanjungan, beliau juga dipuji sebagai Bapa Historiografi, Sosiologi, Ekonomi dan Demografi. Historiografi adalah bidang kajian mengenai sejarah dan pensejarahan yang bertulis.
Apa yang sebenarnya menarik minat saya untuk menulis tentang tajuk ini, sedangkan karya Ibn Khaldun telah mula dibincang dalam kalangan cendekiawan Asia Barat sejak kurun ke-14 dan cendekiawan Eropah sejak kurun ke-18? Malah ulasan dan kritikan ke atas karya Ibn Khaldun masih berterusan hingga kini.
Sebelum saya teruskan tulisan ini, wajar saya jelaskan bahawa saya bukanlah pakar dalam bidang sosiologi mahupun historiografi, namun setelah membaca buku ini dalam terjemahan bahasa Inggeris dan kemudiannya dalam bahasa Melayu, serta beberapa buku dan artikel yang mengulas tentang tamadun, peradaban dan kaitan yang dibuat dengan Ibn Khaldun, saya menjumpai terjemahan yang tidak sama, bukan sahaja dari segi istilahnya, malah juga dari segi maksud istilah utama, yang pada saya ia merupakan mesej paling penting mahu diketengahkan oleh Ibn Khaldun.
Perbezaan terjemahan kepada istilah ‘umran dengan maksud ‘urbanisasi’ (urbanisation) atau ‘perbandaran,’ ‘peradaban’ (civilisation) dan ‘tamadun’ (civilisation) telah membawa pemahaman yang berbeza tentang maksud ‘umran yang hendak disampaikan oleh Ibn Khaldun. Saya meneliti terjemahan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, dan membandingkan dengan hasrat penulis agung tersebut yang menulis kitabnya dalam bahasa Arab, untuk mengetahui sejauh mana kesan penterjemahan terhadap istilah, dan seterusnya penjelasan kepada konsep ‘umran.
Petikan dalam buku yang menjadi rujukan oleh para pelajar universiti dalam pembelajaran mereka mengenai Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara (Penerbit Universiti Malaya, 2018) menyatakan “Bagaimanapun penulis yang lebih awal mengupas dan mengetengahkan idea pengajian ketamadunan ini adalah Ibn Khaldun. Ibn Khaldun menggunakan istilah ‘umran bagi menjelaskan makna tamadun yang merangkumi organisasi sosial dan budaya. Dalam wacana ‘umrannya, Ibn Khaldun menghuraikan hubungan antara manusia, alam dan Penciptanya. Bagi menjelaskan masyarakat yang telah mencapai tahap kemajuan dalam pelbagai segi kehidupan beliau menggunakan istilah ‘umran hadhari yang membezakan dengan masyarakat yang masih berada pada tahap yang belum maju iaitu ‘umran badawi. Melalui konsep ‘umrannya, Ibn Khaldun mengemukakan suatu model keseimbangan peradaban dalam memenuhi tuntutan tabii manusia, jasmaniah dan rohaniah.”
Kemudian, dalam perenggan lain buku tersebut menyatakan, “perkataan yang sering digunakan dalam bahasa Inggeris untuk memberi makna tamadun ialah ‘civilisation’. Perkataan ini berasal daripada perkataan ‘civitas’ dalam bahasa Latin yang bermakna ‘bandar’ atau ‘kota’.”
Petikan ini mengelirukan, kerana ia meletakkan makna ‘umran seerti dengan ‘tamadun’ dan juga ‘peradaban’, lalu timbul keinginan kepada saya untuk membaca lebih lanjut dan meneliti penggunaan istilah-istilah yang berkaitan.
Pemerhatian ini bertambah keliru dengan terjemahan dalam buku Al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993) dan terjemahan Indonesia terbitan Pustaka Al-Kautsar (2011) mengguna istilah ‘peradaban’ bagi perkataan ‘umran, dan terjemahan bahasa Inggeris (F. Rosenthal, 2015) menguna perkataan ‘civilisation’.
Saya tidak melihat tindakan saya ini sebagai membuka ruang polemik semata-mata, tetapi saya berasa adanya keperluan untuk mencari kepastian dan kejelasan, apakah istilah-istilah ‘tamadun’, ‘peradaban’ dan ‘umran itu se makna?
Ibn Khaldun sejak daripada awal tulisannya telah membina definisi ‘umran. Malah beliau telah isytiharkan bahawa “Aku menulisnya secara teliti dan bersih daripada cacat serta membuatnya mudah difahami golongan intelektual dan para ahlinya. Penulisan bab-babnya aku susun secara menarik dan mengagumkan sehingga menjadi sebuah model baharu dalam penulisan sejarah. Aku jelaskan di dalamnya mengenai ‘umran dan tamadun serta ciri-ciri pemasyarakatan manusia berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh masyarakat itu sendiri.” Dalam pengenalan ini pun Ibn Khaldun sudah membezakan maksud ‘umran dengan ‘tamadun’.
Maka apabila Ibn Khaldun memperkenalkan istilahnya yang tersendiri untuk menerangkan mengenai masyarakat manusia, membezakan antara ‘umran dengan tamadun, dari segi kewujudan, pembentukan dan dinamik kehidupannya, adalah tidak wajar untuk diterjemahkan istilah tersebut dengan bahasa yang sama iaitu bahasa Arab dan meninggalkan istilah asalnya.
Ibn Khaldun menegaskan bahawa tulisannya adalah mengenai ‘model baharu’, namun ramai para sarjana dan penulis serta penganalisis sejak beberapa kurun yang lalu mengetepikan istilah yang beliau perkenalkan iaitu عمران dan menggantikannya dengan istilah yang juga difahami serta disebut oleh Ibn Khaldun iaitu تمدن tetapi beliau telah secara sistematik tidak mengguna istilah تمدن tersebut sebagai asas ilmu baharunya itu.
Dari sini seharusnya kita boleh faham tentang kewajaran seruan supaya meneliti semula dan ketengahkan istilah ‘umran (عمران) serta pengertiannya dalam perbincangan dan perdebatan mengenai proses dan nilai pembangunan masyarakat manusia.
Penegasan Ibn Khaldun bahawa ilmu ‘umran ini dicipta khusus dan berbeza dengan ilmu-ilmu sebelumnya telah menarik minat setiap pengkaji dan sarjana dalam bidang sosiologi, malah dalam bidang-bidang lain yang berkait termasuk pembangunan bandar dan ekonomi. Ilmu ini adalah ilmu baharu dirangka untuk berdiri sendiri.
Ibn Khaldun memulakan perbahasan ilmu ini dengan mengaitkan hukum kejadian makhluk sejak daripada awal penciptaan atau kejadian iaitu ‘الخليقة’. ‘الخليقة’ ini juga menjadi titik permulaan bagi Ibn Khaldun dalam pemerhatian beliau mengenai pemasyarakatan manusia sejak zaman lampau yang memakmurkan bumi seterusnya membina ketamadunan bandar, kota dan empayar.
Ianya adalah pendekatan yang dimulakan dengan pemerhatian kepada ‘alam, dan Ibn Khaldun menamakan ilmu itu dengan ‘umran al-‘alam (عمران العلم) atau ‘kemakmuran sejagat’. Pendekatan ini tidak pernah diguna oleh para filosof dan sarjana sebelum Ibn Khaldun, termasuk Aristotle.
Selain daripada konsep ‘umran, Ibn Khaldun turut mengupas bermacam perkara dan konsep yang berkait dengan ‘umran dan menjadikan teori ‘umran begitu merangkumi dan sesuai dengan ungkapan ‘umran al-alam. Konsep-konsep tersebut termasuklah ‘hadharah', 'thaqafah’, ‘madani’, dan ‘madaniyyah’. Konsep-konsep akan saya kupas dalam siri kemudian.
Saya berpendapat, perbincangan atau perbahasan mengenai istilah ‘peradaban’ dan ‘tamadun’ perlu dinilai semula dalam konteks sains ‘umran, dan insya-Allah akan saya sambung dalam tulisan selepas ini.
Kredit foto: banknoteindex.com